Sunday, August 1, 2010

Kisah pak pandir~

Bismillah..

Pak pandir terburu-buru
Mak andir diselubungi sangsi
sebulan berlalu tanpa entry baru
baru kini terasa ingin berkongsi

Di sebuah desa bernama Hegarmanah tinggallah sepasang suami isteri yang berhijrah dari Tanah Melayu. Hidup mereka boleh dikatakan bahagia walaupun tidak dikurniakan zuriat. Pak pandir, si suami sangatlah pemalas orangnya, setiap hari, setiap waktu, detik dan saat hanya menghabiskan masa dengan terbaring di pelantar rumah merenung nasib, mengelamun, berkhayal duit jatuh dari langit, berangan-angan dapat membuka sebuah ladang betik dan akhirnya tertidur. Berbeza pula dengan mak andir, si isteri yang sangatlah rajin, pagi-pagi membuat kupat tahu untuk dijual, tengah hari sibuk menyiapkan gehu pedas untuk di jual sebelah petang dan malam menjahit tempahan-tempahan celana, dan gamis.

" Bapaknye, pergilah keluar mencari rezeki, membuat amal kebaikan", cadang mak andir di suatu hari.
Setelah memikirkan cadangan mak andir, pak andir lantas masuk ke rumah dan keluar bersama beg berisi kelengkapan bermusafir. Mak andir kaget di muka pintu. " Aku keluar mencari rezeki ", kata pak pandir bernada serius.

Bermulalah pengembaraan pak pandir untuk 'mencari rezeki'.Liku-liku jalan tanah tidak berturap tar, berbatu-batu seperti terapi refleksologi, debu-debu tanah mengalahkan padang pasir di tempuh sehingga sampai di suatu persimpangan jalan. Pak pandir berhenti. Memandang ke bawah, terlihat olehnya satu benda yang sangat menarik, berwarna hitam kecokletan, separa pejal, bentuk yang sedikit berpusar, cantik dan kemas terletak. Terlintas di hati pak pandir, adakah ini 'rezeki'? adakah ini binatang ? adakah ini pokok?..Pak pandir yang memang terkenal dengan sifat dungunya cuba berfikir dalam keraguan..dalam keadaan ragu-ragu tentang benda tadi, dengan selambanya pak pandir memegang objek tersebut...

tahukah teman2 apa objek tersebut?? itulah tahi lembu..hahaha =p

Kisah pak pandir yang masyhur dengan kebodohannya sangat menarik perhatian dari semuda-muda usia sehinggalah setua-tua usia manusia. Tetapi kisah pak pandir versi Jatinangor yang saya bawakan ini adalah ciptaan tersendiri yang tidak dapat ditemukan dimana-mana kecuali di blog ini..apa yang saya cuba sampaikan adalah pertama, manfaatkanlah masa dan peluang yang ada dengan sebaiknya dengan perkara-perkara kebaikan..jgn asyik duduk melangut mcm pak pandir tu, bukan dapat apa2 hasil pun..

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah saw bersabda,
"Di antara (tanda) kebaikan keislaman seseorang adalah ia meninggalkan perkara yang tak berguna baginya." (Hadis hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi dan yang lainnya)

Allah pun dah mengingatkan dalam surah Al-Mukminun bahawa sangat beruntung orang yang beriman kalau khusyuk solat, jauh dari perkara lagho, tunaikan zakat, memelihara kemaluan, jaga amanah dan janji kerana Allah dah menjanjikan syurga Firdaus.
"dan orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna" (23:3)

kedua, saya nak timbulkan isu keraguan..memang tidak dapat tidak kita sebagai manusia lari dari keraguan, was-was, (apa lagi sinonim dia) dalam setiap tindak tanduk kita especially bab-bab makan, halal-haram..

Abu Muhammad Al-Hasan bin Ali bin Abi Thalib r.a., cucu kesayangan Rasulullah saw berkata, Aku telah hafal sabda Rasulullah saw.,
"Tinggalkan perkara yang meragukanmu dan kerjakan perkara yang tidak meragukanmu." (h.r. Tirmidzi dan Nasa'i..)

Pak pandir yang dalam keraguan dengan tak sengaja telah memegang tahi lembu tu..kalaulah pak pandir tahu tentang hadis di atas mesti dah lama dia tinggalkan benda tersebut dan taklah dia bermusafir dalam keadaan busuk tahi lembu..

"Sesuatu yang meragukanmu & kamu ragu didalamnya baik perkara dunia mahupun akhirat, maka yang terbaik ialah kamu meninggalkannya hingga tiada kegelisahan dan kebimbangan dalam dirimu pada apa yang kamu kerjakan"

Sama-samalah kita ambil pengajaran~